arena

Azeem berehat seketika

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELARI sensasi remaja, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuat keputusan untuk berehat dan hanya berbaki satu kejohanan pada tahun ini.

Dia akan beraksi pada Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur pada 16 dan 17 November nanti.

Jelas Azeem, dia kini memberi fokus kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang hanya berbaki sebulan lagi.

"Sekarang berehat dan fokus kepada pelajaran. Sudah lama saya tidak hadir ke kelas, sekitar empat bulan kerana fokus kepada kejohanan.

Jadi berbaki kira-kira 40 hari lagi PT3, saya akan memberikan tumpuan kepada pelajaran.

Saya tidak sasar keputusan A untuk semua mata pelajaran namun berharap keputusan yang bagus," katanya Arena Metro ketika menyaksikan Kejohanan Olahraga KOM, Sabtu lalu.

Jelas atlet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat berusia 15 tahun berkenaan, kegagalan mencapai emas dalam acara 100m di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019  pada bulan lalu adalah detik paling mengecewakannya musim ini.

"Saya menang 200m namun sesuatu yang menyedihkan apabila meraih perak dalam 100m. Sasaran saya untuk mencapai emas namun tiada rezeki. Saya akan cuba mendapatkannya pada tahun depan," tambahnya.

Azeem yang dilabel ‘Usain Bolt Malaysia’ mencuri tumpuan pelbagai pihak pada Mac lalu apabila memenangi acara 100m di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina.

Dia mempamerkan larian bertenaga apabila melakukan 10.69s untuk melakar rekod baharu kejohanan.

Aksinya terus mencuri tumpuan pada April apabila mencatat 21.24s saat dalam acara 200m di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor.

Ia menjadikannya sebagai pelari bawah usia 16 tahun terpantas dunia ketika itu dan terbaik sepanjang zaman dalam kategori usia 14 tahun.

Selepas aksi di Semarang, Azeem menutup tirai musim ini dengan Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khong Kaen, Thailand pada awal bulan ini.

Sekali lagi dia mencuri tumpuan apabila merakam 21.15 saat untuk meraih emas acara 200m sekali gus menjadi catatan peribadi terbaiknya.

Manakala catatan peribadi terbaik Azeem dalam acara 100m adalah 10.63s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga MSSM.

Susulan prestasi cemerlangnya, ada pihak yang menyarankan dia disenaraikan ke Sukan SEA Filipina sebagai pendedahan namun kurang mendapat sokongan selain keputusannya sendiri untuk ‘melepaskan’ edisi kali ini.

"Perancangan tahun depan masih belum diputuskan namun kejohanan pertama mungkin Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Indonesia.

"Selain itu, terdapat kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia IAAF Bawah 20 Tahun (Julai di Kenya) namun terpulang kepada perancangan jurulatih sama ada menyertainya atau sebaliknya," tambahnya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 3:05pm
d