arena

Malaysian Tigers perlu bangkit

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN peluang untuk menjuarai Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo sudah tertutup rapat, pengendali skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans tetap menggesa barisan pemainnya bangkit pada perlawanan terakhir bertemu New Zealand esok.

Skuad negara nyata beraksi di bawah tahap permainan sebenar apabila tewas dua perlawanan berturut-turut ketika di belasah India 0-6 pada aksi pertama diikuti tewas kepada tuan rumah, Jepun 1-3 semalam.

Oltmans mengakui barisan pemainnya gagal beraksi dengan baik berikutan faktor kepenatan selepas mengharungi 11 perlawanan kompetitif termasuk ketika bertemu Jepun semalam.

"Sepanjang kempen siri jelajah, perlawanan dengan Jepun adalah yang ke-11 dan kami hanya bermain dengan 15 orang pemain sahaja.

"Bagaimanapun berbanding ketika bertemu India, pemain menunjukkan persembahan yang lebih baik apabila bertemu Jepun.

"Kami akan membuat analisis sebelum turun bertemu New Zealand serta membuat perancangan rapi. Setiap pemain perlu melalui sesi pemulihan dengan sebaiknya," katanya.

Mengulas lanjut perlawanan menentang Jepun semalam, pengendali dari Belanda itu berkata, barisan pemainnya gagal mempamerkan aksi konsisten sehingga hujung perlawanan.

"Mereka bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan suku ketiga. Tetapi pemain tidak dapat mengekalkan corak permainan yang sama di suku keempat dan kesilapan mula dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 9:08pm
d