arena

Sasar emas bola sepak Sukan Para ASEAN

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

MALAYSIA sasar pingat emas bagi acara bola sepak Palsi Serebrum (CP) pada Sukan Para ASEAN Manila, Filipina 2020 dari 18 hingga 25 Januari tahun depan.

Ketua kontinjen Sukan Para ASEAN 2020, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, sasaran itu diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kekuatan terkini pasukan.

“MSN letak sasaran pingat emas, kita yakin skuad yang ada sekarang ini lebih bagus daripada skuad sebelum ini yang bertanding pada kejohanan sama dua tahun lalu.

“Sekarang kita dalam fasa memilih 14 pemain yang akan menggalas cabaran negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pemilihan pemain di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan, hari ini.

Megat Shahriman berkata, 30 pemain akan menjalani sesi pemilihan yang mana 14 terbaik akan terpilih untuk menjalani latihan pusat sebelum terbang ke Manila.

Katanya, sesi pemilihan yang diadakan selama empat hari bermula Jumaat lalu dikendalikan dengan baik oleh beberapa jurulatih dan pegawai MSN sendiri.

“Kita akan pilih yang terbaik untuk wakili negara. MSN juga menjalankan tugas dengan baik tanpa mereka mungkin sukar untuk kita kendalikan sesi (pemilihan pemain) ini,” katanya.

Malaysia sebelum ini meraih gangsa pada temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila menewaskan Singapura dengan keputusan 4-0.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 11:53pm
d