arena

SIPMA tarik minat atlet kebangsaan

Oleh Saiful Affendy Sapran

SUKAN Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) bukan sekadar memberi peluang kepada atlet di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanding sesama sendiri.

Sebaliknya temasya sukan dwi tahunan itu turut menjadi persiapan terbaik untuk atlet kebangsaan mempersiapkan diri menghadapi kejohanan lebih besar seperti temasya Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

Pengerusi Pengelola SIPMA, Datuk Dr Mohd Zamri Yusoff berkata, ia terbukti apabila jumlah atlet kebangsaan yang menyertai SIPMA edisi kelapan kali ini meningkat berbanding edisi sebelumnya.

"Secara keseluruhan jumlah atlet lebih meningkat dan ramai juga atlet kebangsaan menyertai SIPMA kali ini.

"Mereka mungkin berasakan ia adalah antara pentas terbaik untuk persiapan ke Sukan SEA. "Sebab itu saya menjangkakan saingan pada edisi kali ini lebih sengit," katanya pada majlis perasmian SIPMA, semalam yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Jelas Mohd Zamri, antara atlet kebangsaan bakal beraksi pada edisi kali ini ialah jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan serta Muhammad Aqil Yasmin.

Begitu juga jaguh renang negara, Welson Sim serta Tia'a Faang Der dan Chan Yi Wen untuk acara skuasy.

Sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu badminton, bola sepak, olahraga, renang, hoki, skuasy, tenpin boling dan bola jaring yang dipertandingkan buat pertama kali.

Sejumlah 93 pingat emas bakal menjadi rebutan kepada kontinjen yang bertanding.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 2:48pm
d