arena

Pulisic tolak United kerana Mourinho

Oleh Agensi

CHRISTIAN Pulisic menolak perpindahan ke Manchester United disebabkan oleh Jose Mourinho, menurut bekas jurulatih pemain Amerika Syarikat itu.

Pemain berusia 20 tahun itu memilih untuk berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) tahun ini selepas bersetuju untuk menyertai Chelsea daripada Borussia Dortmund dalam perpindahan bernilai £58 juta (RM294j) pada Januari lalu.

Pulisic sebelum ini dikatakan tiba lebih awal di England untuk menyertai United ketika Mourinho mengendalikan pasukan itu.

Jurulatih, Robin Walker yang membimbingnya ketika zaman remaja beraksi bersama pasukan bukan liga bersama Brackley Town memberitahu Telegraph: “Saya peminat Chelsea, saya membesar di London menyokong mereka. Ketika saya berada di Dortmund tahun lalu, saya memberitahunya dia perlu datang.

“Dia tidak akan ke Manchester United disebabkan oleh Jose Mourinho. Bapanya tidak tahan dengan Mourinho kerana dia tidak memperkenalkan pemain muda.

Pada tahap itulah saya bertanya kepadanya: "Bagaimana dengan London? Di situlah ia terletak."

“Saya cuba menjual bandar itu. Ejennya bersetuju dengan mengatakan:

"Apabila anda membuat keputusan seperti itu, ia mengenai pelaburan dan hartanah. Saya teruja dia menandatanganinya.”

Mourinho dipecat pada Disember lalu sebelum digantikan oleh Ole Gunnar Solskjaer yang memberi peluang kepada pemain muda seperti Andreas Pereira, Scott McTominay, Daniel James, Aaron Wan-Bissaka, Tahith Chong dan Mason Greenwood untuk beraksi.

Pulisic satu-satunya nama besar tiba menyertai kelab barat London itu pada musim panas ini.

Kelab itu tidak dapat membuat pembelian lain sebaliknya hanya menambah Mateo Kovacic secara tetap selepas dipinjamkan disebabkan dikenakan pengharaman perpindahan oleh UEFA.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 6:03pm
d