arena

Kedah bangkit lakar kemenangan

Oleh Izzali Ismail

PELUANG Kedah melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia kembali cerah selepas berjaya menewaskan PKNS FC 3-2 pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Walaupun Kedah ketinggalan dua kali, namun dua gol jaringan Jonatan Bauman dan satu gol oleh Aliff Yusof kembali membangkitkan semangat penyokong yang mengharapkan kemenangan selepas gagal mengutip mata penuh dalam dua perlawanan sebelum ini.

PNKS mengejutkan Kedah apabila pemain tengah Romel Morales melakukan percubaan luar kotak penalti menewaskan Ifwat Akmal.

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama Kedah cuba bangkit memburu gol penyamaan melalui percubaan Baddrol Bakhtiar dari ruang kanan gawang namun sepakannya mudah diselamatkan Tauffik Ar Rashid.

Babak kedua, Kedah kembali ceria apabila pemain import Jonatan Bauman menjaringkan gol penyamaan selepas menolak bola berpunca sepakan percuma Edgar Bernhardt minit ke-49.

Serangan bertali arus Kedah gagal menambah gol dan kesempatan itu diambil PKNS FC pada minit ke-69 untuk menambah gol kedua melaui tandukan Nicholas Swirad yang berpunca dari sepakan penjuru oleh Akram Mahinan.

Kedah boleh menarik nafas lega apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-78 hasil tandukan Jonatan Bauman yang mendapat umpanan daripada Baddrol Bakhtiar.

Dihujung babak kedua Kedah melenyapkan impian memungut tiga mata PKNS apabila berjaya menambah gol ketiga melalui percubaan sepakan deras pemain pertahanan Aliff Yusof hasil tolakan Jonatan Bauman dan seterusnya memastikan tiga mata milik skuad Lang Merah.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 11:18pm
d