arena

Neville gesa pemain boikot media sosial

Oleh AFP

PENGURUS skuad wanita England, Phil Neville menggesa pemain bola sepak memboikot media sosial selepas pemain tengah Manchester United, Paul Pogba menjadi mangsa terbaharu serangan berbaur perkauman di Internet.

Pogba menjadi sasaran akibat kegagalan menjaringkan penalti ketika United seri 1-1 di Wolves kelmarin hanya beberapa hari selepas penyerang Chelsea, Tammy Abraham menghadapi insiden yang sama.

"Saya fikir sudah sampai masa tindakan lebih drastik diambil sebagai komuniti bola sepak. Pemain saya turut mengalaminya di media sosial, bintang Liga Perdana malah Championship turut mengalaminya,” kata Neville awal pagi tadi.

"Saya terfikir komuniti bola sepak tanpa media sosial kerana Twitter dan Instagram tidak melakukan apa-apa mengenainya, mereka hanya membalas emel mahu menyiasat tapi tiada apa berlaku.

"Saya hilang kepercayaan kepada sesiapa sahaja mengendalikan media sosial ini, jadi kita perlu menghantar isyarat yang kuat. Tinggalkan media sosial ini selama enam bulan dan tengok kesannya ke atas syarikat media sosial ini.”

Pertahanan Manchester United, Harry Maguire turut menggesa media sosial seperti Twitter dan Instagram menjadi lebih proaktif menghentikan ‘troll’ yang memalukan itu.

"Menjijikkan, media sosial perlu melakukan sesuatu,” katanya dalam Twitter.

"Setiap akaun baharu perlu disahkan dengan pasport atau lesen memandu. Hentikan ‘troll’ ini yang menghina orang.”

Beberapa ciapan berbaur perkauman ditujukan kepada Pogba didapati telah dipadamkan manakala beberapa akaun turut dipadam dengan terma dan syarat Twitter menyatakan mereka mengambil tindakan terhadap tingkah laku yang menyasarkan individu yang mencetuskan kebencian.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 10:41am
d