arena

Misi hidup mati di Melaka

Oleh Asrol Awang

KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman mengakui kelab itu tidak boleh terlepas mata jika mahu mengisi tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini diibaratkan misi hidup mati The Fighters dalam saingan piala prestij itu.

"Kami akui satu mata daripada tiga perlawanan yang dilalui memberi tekanan untuk bersaing dalam Piala Malaysia musim ini.

"Namun, peluang masih terbuka buat FELDA United dengan harapan kami tidak tewas atau terlepas mata apabila berdepan Melaka United Sabtu ini.

"Kami tidak boleh lagi kehilangan mata, sebaliknya perlu menang untuk kekal bersaing dalam Kumpulan D biarpun perlawanan masih berbaki tiga perlawanan," katanya.

Hadin yang juga pemain tengah berkata, biarpun FELDA United belum pernah menewaskan Melaka United musim ini termasuk tewas 1-3 pada 17 Ogos lalu, tiada yang mustahil untuk melakukannya.

Justeru, katanya, fokus utama kelab itu ialah kembali mencabar dan tidak lagi mengulangi kesilapan mudah mengundang padah buat pasukan.

"Oleh itu, kami akan mempamerkan prestasi terbaik dan berusaha untuk menyekat lawan daripada mendapat kemenangan," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 3:14pm
d