arena

Sinar baharu bola sepak negara

Oleh Firdaus Hashim

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengganggap kejayaan skuad bawah 18 (B-18) tahun negara melanglah ke pentas final Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 sebagai sinar baharu buat bola sepak negara.

Beliau yang ditemui ketika menyambut kepulangan skuad muda negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam mengakui cukup mengagumi semangat juang tinggi anak buah Brad Maloney di sepanjang kejohanan itu.

Katanya, dengan menempuh tujuh aksi dalam tempoh dua minggu dan hanya diberikan rehat sehari sebelum aksi berikutnya, ia suatu semangat luar biasa diperagakan pemain muda negara yang sudah tentunya dicengkam kepenatan.

"Saya tetap ingin ucapkan tahniah kepada pasukan AFF B-18 Harimau Muda, pengurus dan kepada pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana kejayaan ini.

"Ia bukan mudah khususnya apabila pada peringkat begitu lama (separuh akhir diheret 120 minit ketika menentang Indonesia) sebelum sempat pulih kecergasan pemain, mereka turun pula main di final.

"Walaupun di peringkat kumpulan menang 3-0 ke atas Australia tetapi di final tewas 0-1.

Tapi apabila melihat cara mereka main dan semangat dan potensi yang ditunjukkan, mereka menunjukkan mereka adalah sinaran buat bola sepak tanah air tercinta ini," katanya.

Sepanjang kempen AFF B-18 di Ho Chi Minh, Vietnam itu, skuad negara muncul naib juara Kumpulan B di belakang Australia selepas meraih sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan dua kekalahan.

Di separuh akhir, Malaysia diberi tentang hebat oleh Indonesia apabila perlawanan berlanjutan hingga ke tambahan masa 120 minit sebelum keluar sebagai pemenangan dengan meraih keputusan 4-3.

Bagaimanapun, ekoran keletihan rentak pasukan sedikit terganggu apabila tewas tipis sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

"Kita doakan mereka berkerja lebih keras, berusaha lebih baik supaya pada masa akan datang dapat pertingkatkan usaha ini.

"Ucapkan terima kasih kepada Datuk (Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin) dan FAM kerana bersama memastikan kejayaan ini dapat dilakukan demi bola sepak Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Selepas ini, anak didik Maloney akan mengharungi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja pada November ini.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 3:49pm
d