arena

Rafiq yakin skuad wanita menyerlah

Oleh Aida Adilah Mat

LIMA atlet boling wanita negara sedia mengibarkan cabaran di Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) yang akan bermula esok hingga 30 Ogos ini.

Mereka diharapkan dapat meneruskan rentak cemerlang mempertahan gelaran yang dimenangi pada 2017 dengan juara dunia lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail yakin skuad wanita mampu menambah koleksi kejuaraan dunia.

Rafiq berkata, tiada apa yang mustahil dan dengan kombinasi pemain berpengalaman serta semangat yang jitu semua pemain, tiada masalah buat pemain negara mempertahankan gelaran itu.

"Saya yakin dengan kemampuan skuad wanita negara. Kesemua mereka mempunyai keserasian bersama dan mereka mempunyai kelebihan apabila akan beraksi di tempat yang sama seperti dua tahun lalu.

"Tapi ada juga cabarannya dan skuad negara perlu berhati-hati dengan pemain tuan rumah, Korea Selatan, Singapura dan Colombia namun untuk menduduki kelompok empat teratas tiada masalah," katanya.

Biarpun ada muka baru dalam skuad iaitu Nerosha Keligit, Rafiq berkata pemain itu mampu melengkapkan skuad senior negara.

"Mungkin kali pertama beraksi di Kejohanan Dunia akan kaku sikit tapi semua orang akan melaluinya. Tapi apa-apapun boleh terjadi.

"Lihat saja Tun Ameerul Luqmam Al Hakeem Tun Hasnul Azam, dia pun kali pertama beraksi tapi boleh muncul juara acara double.

"Apa yang penting sekarang ini adalah percaya pada diri sendiri, percaya pada rakan pasukan, percaya pada jurulatih dan paling penting jangan putus asa," katanya.

Rafiq yang muncul Olahragawan Negara 2018 sebelum ini membuktikan kemampuannya meraih emas Kejohanan Dunia di Hong Kong Disember lalu.

Kejayaan skuad boling diteruskan menerusi gandingan, Adrian Ang dan Tun Ameerul yang turut muncul juara dunia Untuk rekod skuad wanita negara sebelum ini menggungli kejohanan dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003, 2013 dan 2017.

Cabaran skuad negara kali ini digalas Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Nerosha.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 4:58pm
d