arena

China panggil Elkeson aksi Piala Dunia

Oleh AFP

CHINA menamakan Elkeson dalam skuad mereka hari ini bagi aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 yang mana pemain kelahiran Brazil itu dijangka menjadi pemain pertama bukan keturunan Cina beraksi buat negara itu.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat reaksi positif dan negatif peminat dan pakar bola sepak China ketika jurulatih Marcello Lippi berusaha mengemudi negara itu layak ke Piala Dunia buat kali kedua.

Lippi sudah lama merungut mengenai kekurangan pilihan serangan dan berusaha untuk menutup jurang itu dengan penyerang berusia 30 tahun, yang akan menggunakan nama China, Aikesen.

Tindakan untuk menjadikan pemain Brazil itu naturalisasi hadir selepas China turut memberikan pasport kepada pemain tengah kelahiran London, Nico Yennaris.

Pemain Beijing Guoan itu menggunakan nama China, Li Ke dan melakukan penampilan sulung bersama pasukan Lippi dua bulan lalu.

Bekas pemain Arsenal itu bagaimanapun berdarah separuh Cina, manakala penyerang Guangzhou Evergrande, Elkeson layak beraksi untuk China sesudah bermain di negara itu sejak 2013.

Elkeson menjaringkan lebih 100 gol dalam kira-kira 150 perlawanan Liga Super China.

Di samping penyerang Espanyol, Wu Lei dan Yennaris, Elkeson adalah sebahagian daripada 35 pemain yang disenaraikan dalam skuad oleh Lippi bagi perlawanan China menentang Maldives pada 10 September depan.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:57pm
d