arena

Fiorentina sahkan kehadiran Ribery

Oleh Reuters

BEKAS pemain sayap Perancis dan Bayern Munich, Franck Ribery akan menyertai Fiorentina, umum kelab Serie A Itali itu hari ini.

Laman web kelab itu memaparkan video pemain berusia 36 tahun itu turun dari jet peribadi di lapangan terbang Peretola di Florence sebelum bertemu pegawai kelab.

Media Itali menyatakan kira-kira 300 penyokong Fiorentina turut menunggu untuk menyambut kedatangannya.

Ribery berkata, bekas rakan sepasukan Bayern, Luca Toni, bekas pemain kebangsaan Itali yang pernah beraksi di Fiorentina, membantu untuk meyakinkannya berpindah.

“Dia memberitahu saya ia kelab yang hebat dan bandar raya yang indah,” kata Ribery, yang akan menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak dua tahun.

Ribery menyertai Bayern pada 2007 dan memenangi 21 kejuaraan utama bersama kelab Bavaria itu termasuk Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia 2013, selain lima Piala Jerman dan sembilan kejuaraan Bundesliga.

Dia menjaringkan 16 gol dalam 81 penampilan bersama Perancis sekalipun dia dianggap tidak pernah memenuhi potensinya di peringkat antarabangsa.

Fiorentina berjaya mengelak tersingkir ke divisyen bawahan musim lalu dan akan memulakan kempen musim baharu di bawah pemilik baharu selepas bilionair Amerika Syarikat, Rocco Commisso membeli kelab itu daripada keluarga Della Valle.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 7:27pm
d