arena

Kian Meng-Pei Jing, Mei Kuan-Meng Yean mara

Oleh Saiful Affendy Sapran

TIADA sebarang masalah buat beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland selepas menyingkirkan Ben Lane-Jessica Pugh dari England, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang tampil selaku pilihan ke-14 mengambil masa 44 minit sebelum menang 21-19, 21-19.

Pada pusingan ketiga esok, Kian Meng-Pei Jing berdepan tugas sukar bertemu pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

“Sebenarnya kami tidaklah bermain dengan begitu baik tapi ia masih menepati sasaran untuk menang.

“Untuk pertemuan esok memang saya jangkakan perlawanan yang sukar. Kami pernah menang bertemu gandingan Thailand ini tapi pada pertemuan terakhir kami tewas,” kata Pei Jing ketika dihubungi Arena Metro.

“Siapa yang dapat mengawal tekanan dengan baik dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat mempunyai peluang cerah untuk menang.

“Saya memang agak teruja untuk turun beraksi esok. Harap kami memperoleh keputusan yang baik,” katanya.

Sementara itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut cemerlang selepas mengatasi Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-15, 13-21, 21-11 pada pusingan kedua hari ini.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 8:55pm
d