arena

Messi kembali jalani latihan

Oleh AFP

LIONEL Messi menceriakan Barcelona apabila kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan betis.

Messi berlatih berseorangan pada sebelah pagi sebelum menyertai rakan sepasukan pada sebelah petang sekaligus mencerahkan harapan kapten Barca itu untuk beraksi menentang Real Betis dalam aksi La Liga, Ahad ini.

Dia mengalami kecederaan pada 5 Ogos ketika menjalani latihan pertama selepas tamat kempen Copa Amerika dan terpaksa melupakan jelajah pramusim Barcelona.

Tidak mengejutkan jika Messi tersenarai di Camp Nou dan jurulatih, Ernesto Valverde sudah pasti menagih kehadirannya susulan kekalahan mengejut 0-1 kepada Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan minggu lalu.

Kepulangan Messi tepat pada masanya selepas Luis Suarez dijangka berehat sebulan akibat kecederaan betis ketika menentang Bilbao selain Ousmane Dembele yang memerlukan lima minggu untuk pulih akibat kecederaan hamstring.

Hanya Antoine Griezmann yang dibeli daripada Atletico Madrid cergas sepenuhnya di samping Rafinha dan pemain berusia 21 tahun, Carles Perez pilihan membantu di belakang.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 8:12am
d