arena

Malaysia kuasai tujuh acara di Nilai

Oleh Azlan Muhammad Zain

SKUAD para berbasikal negara mempamerkan dominasi apabila memenangi tujuh dari lapan acara dipertandingkan pada Kejohanan Para Trek Malaysia, hari ini.

Menurut jurulatih negara, Sallehuddin Mohd Noh, beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada hari pertama kejohanan di Velodrom Nasional, Nilai itu.

"Sebenarnya bukan emas menjadi fokus utama namun kutipan mata untuk mencari tiket ke Sukan Paralimpik 2020.

“Ini salah satu kejohanan kita berjaya kuasai dan berjaya mengutip mata yang banyak," katanya.

Antara yang cemerlang meraih emas adalah Mohd Najib Turano (1km ujian masa C4), Zuhairie Ahmad Tarmizi (1km ujian masa C5) serta gandingan acara tandem Mohd Afiq Afify Rizan bersama Mohd Faizal Noh dalam acara 1km ujian masa.

Indonesia meraih emas tunggal acara 1km ujian masa kategori C2 menerusi Habib Shaleh dengan Malaysia tidak menyertai acara itu.

Malaysia meletakkan sasaran mendapat lebih daripada dua tiket ke Tokyo.

Hari kedua yang dijalankan serentak dengan Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara akan bersambung esok dengan saingan turut disertai pelumba dari Thailand dan Indonesia.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 1:16pm
d