arena

Sumareh, Safuwan tak turun layan Tambadau

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengesahkan dua pemain utama skuad itu tidak dapat disenaraikan apabila berdepan Sabah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dua pemain itu ialah pemain tengah, Mohamadou Sumareh dan Safuwan Baharudin, masing-masing mengalami kecederaan dan penggantungan.

"Biarpun ketiadaan dua pemain ini memberi kesan terhadap jentera pasukan, ia tidak menyekat misi Pahang untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.

"Sudah pasti jentera tengah akan mengalami perubahan kerana Sumareh dan Safuwan tidak dapat beraksi tetapi saya tidak berasa bimbang dengan situasi itu.

"Dengan prestasi semasa yang dilihat positif selepas tiga perlawanan, Pahang akan pastikan kemenangan memihak kepada pasukan," katanya.

Dollah turut mengakui skuad kendalinnya itu hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

Namun, katanya, anak buahnya tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa kerana saingan piala itu masih berbaki tiga perlawanan.

"Oleh itu, fokus utama pemain ialah mengekalkan prestasi dan tidak membenarkan lawan menguasai permainan," katanya.

Dalam Kumpulan C, skuad Tok Gajah memungut sembilan mata diiikuti Perak dan Pulau Pinang, masing-masing berkongsi empat mata manakala Sabah pula masih gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 5:12pm
d