arena

MASISWA sapu bersih emas skuasy

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MAJLIS Sukan Institusi Pendidikan Swasta (MASISWA) melakar kejutan besar apabila memenangi kedua-dua pingat emas acara skuasy berpasukan lelaki dan wanita pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) hari ini.

Paling mengejutkan apabila MASISWA menamatkan kempen tanpa kalah selain tidak memberi sebarang mata kepada pasukan lawan dalam aksi liga sepusingan hingga ke penentuan pingat emas di Pusat Skuasy Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Pada penentuan pingat emas hari ini, MASISWA yang diperkuat pemain senior dan remaja kebangsaan, Darren Rahul Pragasam, Danial Nurhaqiem dan Low Qing Xiang mengecewakan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 3-0.

Pingat perak dimenangi juara lalu, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) manakala gangsa milik MASUM.

Kehebatan MASISWA berterusan menerusi acara berpasukan wanita apabila turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan untuk meraih pingat emas kedua.

Skuad itu juga diperkuat pemain remaja kebangsaan Ma Si Yi, Nur Aliah Izzati Muhammad Anis dan Michelle Pretti Stanley.

Pada penentuan pingat emas, MASISWA menewaskan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM) 3-0 manakala MASUM meraih perak dan MSSM gangsa.

Acara skuasy pada SIPMA kali ini hanya menawarkan dua pingat emas menerusi acara berpasukan.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 7:13pm
d