arena

Wolves garang baham Torino

Oleh AFP

WOLVES semakin menghampiri saingan peringkat kumpulan Liga Europa selepas mencapai kemenangan 3-2 di Torino dalam aksi playoff pertama, awal pagi tadi.

Kelab Liga Perdana itu yang beraksi kali pertama dalam saingan Eropah sejak 1981 mendahului tuan rumah menerusi gol sendiri Gleison Bremer sejurus sebelum rehat.

Diogo Jota menjadikan kedudukan 2-0 ketika permainan berbaki setengah jam tetapi Lorenzo de Silvestri menceriakan kelab Itali itu dua minit kemudian.

Raul Jimenez melebarkan kedudukan buat Wolves pada minit ke-72 sebelum penalti Andrea Belotti pada lewat permainan menghidupkan harapan mereka menjelang aksi kedua di Molineux , Khamis depan.

"Perlawanan ini sangat sengit dan belum tamat lagi. Kami berdepan pasukan sangat kental,” kata jurulatih Wolves, Nuno Espirito Santo kepada wartawan.

"Kami beraksi dengan baik, berorganisasi dan cekal bertahan. Kami menghasilkan gol tetapi seperti saya kata ada satu lagi aksi.”

Sementara itu, Celtic yang disingkirkan kelab Romania, Cluj daripada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu menewaskan kelab Sweden, AIK 2-0 di tempat sendiri.

James Forrest meletakkan tuan rumah di hadapan pada awal babak kedua sebelum sepakan percuma menarik Odsonne Edouard pada minit ke-73 melengkapkan kemenangan Celtic.

"Ini persembahan berpasukan yang mengagumkan,” kata pengurus Celtic, Neil Lennon.

"Kami beraksi dengan sangat baik pada babak pertama malah lebih cemerlang di babak kedua dengan jaringan fantastik.”

Pencabar Glasgow, Rangers turut mencerahkan peluang ke peringkat kumpulan selepas seri 0-0 di Legia Warsaw manakala dua kelab Belanda, Feyenoord dan PSV Eindhoven masing-masing menang selesa 3-0 ke atas Hapoel Beer-Sheva dan Apollon.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 7:08am
d