arena

Lemina boleh cari kelab baharu - Hasenhuttl

Oleh Reuters

PEMAIN tengah Southampton, Mario Lemina dijangka meninggalkan kelab sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup pada 2 September depan, menurut pengurus, Ralph Hasenhuttl.

Lemina yang menyertai Saints pada Ogos 2017 tidak dibawa bersama ketika jelajah pramusim dan disisihkan dalam dua perlawanan Liga Perdana musim ini selepas menyuarakan hasrat untuk berpindah.

AS Roma, Olympique Lyonnais dan AS Monaco dikaitkan dengan pemain berusia 25 tahun itu dan media Britain melaporkan Southampton sedia mendengar tawaran ke atas pemain Gabon itu.

"Dia salah seorang yang mungkin meninggalkan pasukan ini,” kata Hasenhuttl kepada wartawan.

"Terdapat beberapa pilihan untuknya dan sangat penting personaliti ini dapat menentukan nasib dirinya. Kami akan melihat apa yang berlaku dan ia pilihan untuknya meninggalkan kami pada tempoh perpindahan ini.”

Seorang lagi pemain yang hampir ditunjukkan pintu keluar ialah penjaga gol, Fraser Forster yang menjadi penjaga gol ketiga di belakang Angus Gunn dan Alex McCarthy.

Ketika ditanya sama ada Forster dijangka berpindah ke Celtic, Hasenhuttl berkata: "Mungkin dia seorang lagi pemain yang membuat langkah baharu.

"Kami memberi peluang kepada pemain untuk beraksi di tempat lain dan Fraser mungkin salah seorang daripadanya.”

Southampton masih belum meraih sebarang mata musim ini selepas tewas kepada Burnley dan Liverpool sebaliknya lawan mereka malam esok, Brighton & Hove Albion belum tewas dengan mengutip empat mata.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 8:39am
d