arena

Tak boleh kecundang lagi...

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC yang kian tersepit mengharapkan sinar apabila bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam esok. 

Ini kerana hanya kemenangan atau sekurang-kurang mencuri satu mata sedikit sebanyak membantu untuk terus bersaing merebut tempat ke suku akhir Piala Malaysia. 

Kapten The Fighters, Hadin Azman mahu rakan sepasukan mengerah seluruh tenaga bagi memastikan kelab itu mencatatkan kemenangan. 

"Kami tidak boleh lagi tewas pada perlawanan keempat ini kerana lawan lain semakin jauh meninggalkan kami yang sekadar mengutip satu mata selepas tiga perlawanan. 

"Mahu atau tidak, kami perlu menang ke atas Melaka United biarpun rekod pertemuan musim ini lebih memihak kepada mereka. 

"Tapi, kami tidak boleh berputus asa sebaliknya berazam untuk bangkit daripada kekecewaan pada tiga perlawanan sebelum ini. 

"Tiada yang mustahil untuk meletakkan FELDA United pada prestasi terbaik, malah kembali bersaing merebut tempat ke suku akhir," katanya. 

Hadin selaku pemain tengah berkata, aksi lambat panas dipersembahkan pada tiga perlawanan lalu diharap tidak diulangi. 

Sebaliknya, katanya, fokus utama adalah mendapatkan jaringan awal sebagai motivasi memastikan tiga mata menjadi milik kelab itu. 

"Oleh itu, saya mahu rakan untuk mempamer komitmen tinggi dan tidak membenarkan lawan menguasai permainan kerana peluang melakar kemenangan tetap ada," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 4:11pm
d