arena

Bale perlu buktikan: Zidane

Oleh AFP

ZINEDINE Zidane mencabar Gareth Bale untuk membuktikan kenapa dia masih seorang daripada pemain terbaik dunia ketika dia meneruskan kariernya di Real Madrid.

Bale, 30, disenaraikan secara mengejut dalam kesebelasan utama menentang Celta Vigo hujung minggu lalu, apabila Madrid membuka tirai kempen dengan kemenangan bergaya 3-1 dalam La Liga dan Bale muncul pemain terbaik perlawanan.

Zidane menyatakan Julai lalu ia pasti “yang terbaik buat setiap orang” jika Bale meninggalkan Madrid pada musim panas ini namun pemain Wales itu teruja untuk kekal dan jelas mendapat semula kepercayaan jurulatihnya.

“Apa yang berubah pemain ini akan kekal,” kata Zidane pada sidang akhbar hari ini menjelang aksi di laman sendiri menentang Real Valladolid malam esok.

“Paling penting pemain ini mahu kekal. Memang benar sudah banyak diperkatakan mengenainya, termasuk saya sendiri, tapi dia akan kekal.

“Dia seorang pemain hebat, dia sudah pamerkan sebelum ini dan dia perlu membuktikannya sekali lagi. Dia perlu menjadi pemain yang pernah kami kenali sebelum ini.”

Bale bermula di Vigo selepas Eden Hazard mengalami kecederaan paha ketika latihan dan masih tidak diketahui sama ada dia boleh mengekalkan tempatnya apabila pemain Belgium itu kembali selepas rehat tugasan antarabangsa.

“Bale bermain bagus tempoh hari, satu perlawanan hebat secara keseluruhan tapi dia juga bertahan dengan cemerlang,” kata Zidane.

“Dia bekerja keras dan kami perlu meneruskan rentak sebegini, Gareth, setiap orang, mereka semuanya penting.”

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 10:46pm
d