arena

Pochettino risau dilema dihadapi Eriksen

Oleh AFP

MAURICIO Pochettino mengaku dia agak bimbang dengan masa depan Christian Eriksen di Tottenham Hotspur yang masih samar menjelang tarikh akhir jendela perpindahan Eropah.

Kontrak Eriksen tamat di penghujung musim ini dan pemain itu berkata pada awal musim panas lalu dia mencari cabaran baharu di luar Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah Denmark itu masih menanti peluang perpindahan ke kelab utama di Eropah, selepas dilaporkan menolak peluang untuk menyertai Manchester United.

Tetapi Eriksen akan menjadi ejen bebas pada jendela perpindahan tahun depan dan dengan tarikh akhir 2 September berbaki kurang 10 hari, belum ada tanda-tanda dia akan menandatangani kontrak baharu atau dijual.

Pochettino sedar keputusan berdasarkan perniagaan lebih penting berbanding bola sepak jika Tottenham mendapat tawaran baik dan ketika ini mengalih tumpuan Eriksen.

“Sudah tentu ia bukan situasi yang baik,” kata Pochettino menjelang pertembungan berdepan Newcastle esok.

“Ia bukan apa yang saya rasa kelab atau pemain jangka akan terjadi. Situasi sukar untuk kedua-dua pihak.

“Semalam saya bercakap dengan (pengerusi) Daniel (Levy) dan dia menyedari ia bukan perkara yang bagus untuk pasukan seperti kami, kelab seperti kami.

“Tetapi saya sentiasa terbuka untuk membantu kelab dan keputusan Daniel. Sudah tentu pintu saya sentiasa terbuka untuk dia datang dan berbincang untuk membantu melakukan keputusan itu.

“Saya tahu keputusan seperti itu bukan mudah tetapi saya sentiasa bersedia untuk meletakkan kelab dalam keadaan terbaik.

“Dan sudah tentu untuk pemain juga, kerana ia membabitkan kepentingan kedua-dua pihak, kita tidak boleh berat sebelah. Apa yang penting ialah mencari keputusan terbaik untuk semua.”

Pochettino meletakkan Eriksen di bangku simpanan pada perlawanan pembukaan menentang Aston Villa, tetapi dia kembali mengisi kesebelasan utama ketika keputusan seri menentang juara Manchester City.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 9:56am
d