arena

Zii Jia 'ubati luka' BAM

Oleh Aida Adilah Mat

KETIKA kekecewaan menyelubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan prestasi mengecewakan barisan pemain di Kejuaraan Badminton Dunia di Basel, Switzerland, Lee Zii Jia memberi sedikit sinar.

Zii Jia yang membuat penampilan sulung terkandas di suku akhir kepada pemain handalan Jepun, Kento Momota namun ia dianggap sebagai pengalaman terbaik buat diri pemain muda itu.

Malah, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan ketika beliau begitu kecewa dengan prestasi pemain terutama beregu lelaki dan campuran di bawah BAM, Zii Jia memberikan keceriaan.

Kata Norza, jika dulu kedudukan Zii Jia jauh dari segi ranking tapi sekarang dengan apa yang dicapainya ketika ini pemain muda negara itu bakal menghuni kedudukan 10 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini.

“Jika dihitung dari segi persiapan menuju ke Olimpik, prestasi pemain secara keseluruhan kurang memuaskan.

“Hanya Zii Jia memberi perkhabaran gembira dan itu adalah perkara yang saya nampak baik dari segi prestasi yang kurang memuaskan secara keseluruhan,” katanya.

Norza berkata, beliau sering kali mengatakan jurang antara pemain negara dengan pemain dunia tidak jauh berbeza namun mereka perlu melipat gandakan usaha.

Tugas itu terletak di bahu jurulatih yang perlu berusaha keras memastikan pemain negara tidak ketinggalan kepada pemain hebat dunia yang lain.

Semalam cabaran pemain negara terhenti di suku akhir apabila Zii Jia tewas kepada Momota 12-21, 8-21 manakala beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada Yuta Watanabe-Arisa Higashinom 21-18, 12-21, 11-21.

Sembilan lagi wakil negara terkandas di pusingan awal.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 5:32pm
d