arena

Palace sentap kealpaan United

Oleh Reuters

JARINGAN saat akhir daripada pertahanan Patrick van Aanholt memberikan kemenangan Crystal Palace ke atas Manchester United 2-1 selepas aksi hambar tuan rumah dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini.

Van Aanholt meledak jaringan melepasi penjaga gol United David De Gea susulan kesilapan Paul Pogba selepas Daniel James menjaringkan gol pada minit ke-89 untuk menyamakan kedudukan selepas jaringan awal Jordan Ayew untuk pasukan pelawat.

Ayew meledak jaringan pada minit ke-32 apabila Palace menghukum United yang kurang kreatif di bahagian tengah dan serangan dengan Marcus Rashford mensia-siakan penalti pada minit ke-70.

Palace menerima ganjaran untuk serangan mereka ke kawasan United apabila Jeffrey Schlupp menanduk hantaran jauh penjaga gol Vicente Guaita dan Ayew meledak rembatan rendah melepasi De Gea selepas berjaya mendapatkan bola itu.

Ketika masa semakin suntuk buat United, pemain sayap Wales James menyamakan kedudukan apabila berjaya melakukan sepakan lencong ke gawang namun kegembiraan tuan rumah tidak kekal lama apabila Palace meraih kemenangan beberapa minit kemudian.

Pogba yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Wolverhampton Wanderers mempamerkan satu lagi aksi buruk apabila gagal mengawal bola daripada melepasi zon bahaya dan Van Aanholt meluru untuk menewaskan De Gea dengan rembatan sejauh 12 meter.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 12:38am
d