arena

'Nak lesen, mohon awal'

Oleh Syazwan Msar

JANGAN buat kerja saat akhir. Itu antara peringatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap pasukan bola sepak negeri supaya segera menyiapkan dokumen penting berkaitan permohonan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2020 memandangkan tarikh tutupnya hanya tinggal tujuh hari saja lagi.

Setakat ini, hanya dua pasukan mencapai 80 hingga 90 peratus dokumen disiapkan, manakala selebihnya masih ‘bergelut’ bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan FAM dan AFC.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam apabila memaklumkan kerja saat akhir akan menyebabkan masalah lain timbul hingga menyusahkan persatuan bola sepak negeri nanti.

Beliau berkata, sehingga kini tiada pasukan yang sudah melengkapkan keseluruhan dokumen yang diperlukan FAM dan AFC walaupun tarikh tutup sudah semakin hampir.

“FAM akui ada beberapa perkara terutama membabitkan fasiliti seperti stadium dan juga dokumen kewangan memerlukan tempoh lama untuk disiapkan sebelum dihantar ke pihak berkaitan.

“Namun, jika mereka menghantar awal, FAM boleh memperbaiki lagi kelemahan dokumen itu, malah perbincangan bersama boleh dilakukan dengan menggunakan alternatif lain jika ada beberapa maklumat tidak dapat dihantar pada tarikh ditetapkan.

“Oleh itu, saya mahu persatuan lebih peka dengan menghantar awal dan jika dokumen ditolak pada saat akhir menyebabkan kerugian pada pihak mereka, sekali gus kemungkinan tidak akan mendapat lesen daripada AFC,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebagai rekod, sebelas daripada 12 pasukan yang bertanding pada Liga Super tahun lalu lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Kedah, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala Kuala Lumpur, Pahang dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan, tetapi dengan bersyarat. Selain itu, Kedah, Selangor, JDT, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada pertandingan peringkat Asia.

Satu lagi pasukan Liga Super 2018 iaitu Kelantan gagal mendapatkan lesen kebangsaan dan AFC kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:01am
d