arena

Tiada faktor luar pengaruhi keputusan

Oleh Nazri Abu Bakar

PENOLONG jurulatih Melaka, Mohd Nidzam Adzha Yusoff menolak sebarang andaian ada faktor luar mempengaruhi kekalahan pasukan terbabit kepada FELDA United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya tiada sebarang masalah yang mengganggu pemain sehingga boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga tewas 1-3.

Katanya, dia melihat faktor kecederaan menjadi antara perubahan taktikal yang terpaksa dilakukan termasuk kecederaan Patrick Reichelt pada babak pertama.

Malah Melaka juga terpaksa mengeluarkan import Korea Selatan, Jang Suk Won akibat kecederaan pada babak kedua.

"Kurang fokus dan melakukan kesilapan menjadi faktor lawan bangkit dan memenangi perlawanan.

"Kami gembira pada 45 minit pertama dengan prestasi yang positif namun mereka mengambil peluang menghukum kami selepas melakukan kesilapan," katanya.

Menurutnya, bermain lebih baik di tempat lawan minggu lalu tetapi tewas kepada lawan sama kali ini akan terus diperbaiki pada sesi latihan.

Katanya, masih terdapat masa untuk memperbaiki prestasi pasukan dalam masa sama mengharapkan kecederaan pemain akan segera pulih.

Apapun, kerja keras amat penting untuk memastikan dua baki perlawanan seterusnya selepas ini memihak skuad Hang Tuah.

Melaka dijadual berdepan Selangor di Stadium Shah Alam pada 14 September dan PDRM pada 18 September di Stadium Hang Jebat.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 6:30pm
d