arena

Malini harap peluang masih ada

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KETUA pasukan bola sepak wanita, Malini Nordin, berharap peluang tidak tertutup buat mereka beraksi di Sukan SEA 2019, hujung tahun ini.

Menurutnya, ini kerana walaupun gagal melepasi saingan Kumpulan A di Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF 2019 di Thailand, pemain negara mempamerkan peningkatan prestasi untuk menyaingi pasukan lain yang diundi bersama.

Justeru, dia berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menimbangkan pencapaian keseluruhan di Thailand untuk menghantar skuad wanita ke temasya dwi tahunan itu.

"Harapan saya kami diberi peluang mewakili negara di Sukan SEA 2019. Walaupun tidak layak ke separuh akhir, saya lihat ada perubahan dalam permainan pasukan.

"Walaupun kami berlatih dalam masa singkat, kita catat dua kemenangan iaitu menewaskan Singapura, 4-0 dan Timor Leste, 5-0 selain tewas kepada Filipina, 3-0 dan Thailand,7-0.

"Saya yakin, pasukan kita mampu memberi saingan kepada pasukan lain di peringkat Asia Tenggara," katanya dihubungi, hari ini.

Malini, 34, berkata, walaupun kalah teruk kepada Thailand, pasukan negara berjaya memberikan tekanan kepada lawan yang masih segar dengan aksi di Piala Dunia Wanita 2019.

"Saya tetap berpuas hati dengan mutu permainan kami.

Jika sebelum ini, pemain negara kerap membuang bola, kali ini kita biar mereka melakukan serangan dan bertahan.

"Pemain juga tidak takut untuk naik dan jurulatih menggunakan strategi tiga pemain menunggu di garisan tengah ketika sepakan sudut menyebabkan tekanan kepada Thailand. "Saya yakin jika lebih lama berlatih dan menyertai banyak kejohanan, mutu permainan jadi lebih baik," katanya.

Katanya, sebagai pemain paling senior dia berharap untuk memenangi pingat tanpa mengira warna sebelum bersara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan pihaknya bersedia untuk menghantar skuad wanita ke Sukan SEA 2019.

Katanya, justeru FAM berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan terlebih dahulu sama ada skuad bola sepak wanita diletakkan dalam kategori A atau B berdasarkan pencapaian di Thailand.

"Kami di pihak FAM sememangnya mahu supaya skuad bola sepak wanita beraksi di Sukan SEA," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Lazimnya, mana-mana atlet atau pasukan diberi kategori A oleh MOM bermakna mereka akan mendapat tajaan penuh di Sukan SEA, Sukan Asia atau Sukan Olimpik.

Kategori B pula, perbelanjaan penginapan dan pengangkutan ditanggung persatuan masing-masing dan akan dibayar semula jika atlet terbabit meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 7:34pm
d