arena

McIlroy rangkul Piala FedEx

Oleh Reuters

KEMENANGAN pada Kejuaraan Jelajah di Atlanta pagi tadi tidak memadamkan kekecewaan pada kejohanan utama musim ini buat Rory McIlroy, namun ia mungkin bernilai lebih daripada AS$15 juta (RM63 juta) yang diterimanya dengan memenangi Piala FedEx.

Kejayaan mengalahkan musuh ketatnya Brooks Koepka hanya membantu meningkatkan keyakinannya selepas pusingan akhir yang mengecewakan apabila digandingkan dengan Tiger Woods pada kejohanan sama tahun lalu.

Pemain Ireland Utara itu mengatasi dua pemain Amerika Syarikat, Koepka dan Xander Schauffele dengan penamat empat bawah par 66 di East Lake dalam laluan meraih hadiah terbesar dalam sukan itu.

Dia berakhir dengan 18 bawah par, empat pukulan di depan Schauffele untuk merangkul Piala FedEx buat kali kedua dalam Jelajah PGA, selepas kemenangan pada 2016.

Ia suasana manis menjelang lubang terakhir buat McIlroy, yang terpaksa berdepan suasana kurang senang tahun lalu berjalan di samping Woods ketika penonton yang ramai menjerit, “Tiger, Tiger.”

Kali ini, laungan “Rory, Rory” kedengaran dari kalangan penonton.

“Saya perlu katakan saya tidak seronok ketika berjalan tahun lalu seperti yang dialami setiap orang,” kata McIlroy. “Saya gagal menyaingi Tiger.

“Amat menakjubkan bagaimana semuanya pantas berubah dalam tempoh setahun.”

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 12:59pm
d