arena

Agba mahu terus meledak

Oleh Nazri Abu Bakar

PENYERANG utama PDRM, Uche Agba mahu terus meledak jaringan dalam misi membantu pasukannya mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Selepas mencetak gol pertamanya membantu pasukannya mengikat Selangor 2-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka minggu lalu dia mahu terus menyumbang kutipan mata pada baki dua aksi Kumpulan D.

Menurutnya, semua lawan memiliki barisan pertahanan kental namun sebagai penyerang dia harus menggunakan kemahiran untuk melepasi kawalan ketat lawan.

"Setakat ini persembahan pasukan memberansangkan dan akan terus mencabar saingan dalam kumpulan terbabit.

"Sehubungan itu, kami bertekad terus membentuk gandingan serasi dalam memastikan cabaran pasukan agar saingan pada Piala Malaysia tidak terhenti pada peringkat kumpulan,”katanya.

Justeru, fokus kini terarah kepada dua pertemuan berdepan Melaka dan FELDA United selepas ini dengan sasaran memenangi kedua aksi itu.

Dia menyertai The Cops pertengahan musim ini menjadi ayam tambatan skuad berkenaan dengan meledak tujuh gol di Liga Perdana sekaligus membantu pasukannya mara ke Liga Super musim depan.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 6:02pm
d