arena

ASAS RC pertahan kejuaraan

Oleh Ferzalfie Fauzi

ASAS Rugby Club (ASAS RC) muncul juara keseluruhan Kejohanan Ragbi Liga Putrajaya 2019 sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Dalam perlawanan akhir yang cukup sengit, kelmarin, ASAS berjaya menumpaskan Scorpion Rebels 39-22.

Scorpion Rebels yang hadir sebagai pasukan bukan pilihan turut mempamerkan aksi cemerlang di bawah sentuhan jurulatih, Ehsan Manan, sebelum terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan.

Presiden ASAS RC yang juga Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP), Zaki Shahran menyifatkan perlawanan akhir itu sebagai medan terakhir untuk pemilihan dalam mempersiapkan pasukan Putrajaya ke Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019.

Terdahulu pada perlawanan akhir plate, Bangi Hunters tidak berdepan masalah untuk menewaskan musuh tradisi Kajang Rams dengan skor 25-24.

Dalam aksi sebelah pagi, berlangsung perlawanan akhir bowl di antara MMU Ebees dan Qubyx Lions yang menyaksikan MMU menang 22-0.

Hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah ialah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Muhammad Ariff Yaacob selaku wakil penaja.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 6:13pm
d