arena

NS harap ada peluang

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

“LAYAK tidak layak itu perkara nombor dua. Yang penting, baki dua perlawanan kita menang.”

Itu kata pengurus pasukan Negeri Sembilan, Mohd Khairollah Abd Latif yang optimis peluang masih terbuka untuk pasukannya ke suku akhir Piala Malaysia 2019 dalam Kumpulan A.

Katanya, selepas mengharungi empat perlawanan, Negeri Sembilan dilihat mampu menyaingi pasukan lain biarpun di kedudukan terakhir kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan pertama ke atas Terengganu FC (TFC).

“Dalam kumpulan ini belum ada pasukan layak. Dari segi pungutan mata, peluang masih terbuka untuk semua pasukan.

“Kita melihat perlawanan pertama dengan kedua-dua pasukan, kita boleh mencabar mereka. Cuma kelemahan kita gagal menjaringkan gol walaupun memiliki banyak peluang.

Contohnya ketika menentang PKNS FC di Paroi, kita dapat lebih banyak peluang dari mereka, tetapi gagal jaringkan gol,” katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Negeri Sembilan dijadual menentang PKNS FC pada 14 September depan di Stadium Shah Alam dan Kedah pada 18 September di Stadium Darul Aman.

Berdasarkan statistik, TFC menerajui kumpulan A dengan sembilan mata, diikuti Kedah (tujuh) dan PKNS FC (4).

Mohd Khairollah berkata, beliau berharap tempoh rehat 21 hari sebelum perlawanan seterusnya, dimanfaatkan barisan jurulatih diketuai Mohamad Zaki Sheikh Ahmad untuk membetulkan kesilapan dan melakukan sesuatu dalam latihan.

“Saya berharap kita pemain bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan dalam dua perlawanan terakhir nanti bagi menghidupkan peluang kita ke peringkat seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan tewas 1-3 kepada Kedah dan PKNS FC (2-1) dalam perlawanan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 6:48pm
d