arena

'Skuad Pochettino kurang kepantasan, kreativiti...'

Oleh Agensi

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mula berdepan masalah dengan skuadnya, kurang kemahuan dan kreativiti mencipta peluang menyebabkan tewas kepada Newcastle United, kata pengulas sukan, Alan Shearer.

Pemain mencatat rekod kelab itu, Joelinton menjaringkan gol pertama dalam Liga Inggeris untuk memberi Newcastle kemenangan mengejutkan di Tottenham dan kejayaan pertama Steve Bruce selaku pengurus baru mereka.

Mereka bernasib baik mendapat satu mata di City, minggu lalu sebelum terpaksa bekerja keras menewaskan Aston Villa selepas ketinggalan 0-1.

“Paling ketara adalah mereka tidak mencipta banyak peluang dan ia sama seperti berdepan Newcastle.

Segala-galanya sekarang berada pada tahap perlahan. Setiap hantaran perlahan malah setiap hantaran lintang juga perlahan.

Tidak ada kepantasan dalam permainan mereka,” kata bekas penyerang England itu.

Harry Kane banyak bergerak ke dalam tetapi mereka masih gagal menyudahkan peluang.

Shearar juga hairan mengapa Pochettino mengenepikan dua pemain terbaik mereka selain Kane iaitu Christian Eriksen dan Jan Vertonghen?

“Tanpa Eriksen pasukan London itu benar-benar kekurangan kreativiti.

Pochettino perlu membuat keputusan besar sama ada mendapatkan tunai untuk pemain itu pada jendela perpindahan atau melepaskannya.

Bagaimanapun, mereka tidak mampu untuk melepaskannya buat masa ini,” kata Shearer lagi.

Tottenham kini memerlukan sentuhan Eriksen sejak wisel sepak mula dalam setiap perlawanan untuk memastikan musim dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terus kompetitif.

Ya, Dele Alli akan kembali daripada kecederaan malah perancangan Pochettino membawa Eriksen pada separuh masa kedua berkesan menentang Villa.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 7:29pm
d