arena

Kalaulah penyokong lebih rasional...

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PENGERUSI Kelab Penyokong Bolasepak Perak, Syamsul Baharin Ahmad Shibi kesal dengan insiden pergaduhan didakwa membabitkan penyokong Perak dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Jalan Datuk Keramat, Georgetown pada Sabtu lalu.

Katanya, insiden itu boleh dielakkan jika pihak terbabit bersikap rasional, mengutamakan keselamatan dan tidak mementingkan diri sendiri.

“Umumnya insiden sebegini tidak dapat dielakkan. Namun atas semangat kesukanan ia perlu dihentikan dalam alaf baru ini.

“Walau pasukan mana sekalipun kita sokong, perlu fikir soal keselamatan semua bukan ego dan pentingkan diri sendiri. Bukan saja kita yang hadir ke stadium malah ada yang bawa isteri, anak kecil, saudara perempuan ibu, bapa dan sebagainya.

“Apa jaminan kita jaga keselamatan mereka, pada masa sama keselamatan orang lain juga tanggungjawab kita jika insiden sebegini berlaku?” katanya dihubungi Arena Metro hari ini.

Kelmarin tular video di media sosial mengenai kekecohan yang dikatakan bermula di dalam stadium membabitkan segelintir penyokong kedua-dua pasukan saling membaling objek dan melakukan provokasi.

Kekecohan itu didakwa berlarutan hingga ke luar stadium selepas video itu tersebar di media sosial.

Susulan kejadian, polis Daerah Timur Laut juga menerima laporan seorang lelaki cedera di hidung, mata kiri serta sakit di kepala akibat dipukul dipercayai lima penyokong pasukan bola sepak Perak di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran stadium itu.

Syamsul Baharin berkata, sehubungan itu juga beliau menasihati semua pihak menghentikan segala provokasi bagi mengelak ia berpanjangan dan menyerahkan kepada polis melakukan siasatan.

“Bola sepak ini sukan rakyat. Kita bimbang, jika tidak dihentikan tidak mustahil perlawanan di Ipoh nanti akan berlaku kekecohan lagi.

“Laporan polis sudah dibuat, jadi kita serahkan kepada polis melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 8:51pm
d