arena

'Shahrel, jumpa saya jika ada masalah...'

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, meminta penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bertemu dengannya secara peribadi jika menghadapi masalah berada dalam skuad Perak ketika ini.

Ia berikutan tindakannya dikatakan memadam semua gambarnya bersama pasukan The Bos Gaurus (TBG) dalam Instagram peribadinya, semalam.

Dia sebaliknya hanya menyiarkan gambar ketika beraksi bersama pasukan PKNP, kebangsaan dan kelab Nakhon Ratchashima sehingga menimbulkan perbahasan dalam kalangan netizen berkemungkinan sudah `tawar hati' dengan pasukan itu.

Ramai penyokong TBG menganggap tindakan Shahrel itu disebabkan kurang diturunkan dalam kesebelasan utama Perak biarpun dua penyerang import penyandang juara Piala Malaysia itu kurang produktif menghasilkan gol ketika ini.

Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, setakat ini Shahrel dianggap sebagai anak angkatnya tidak pernah menyatakan ada masalah atau mahu menamatkan kontraknya yang dipinjamkan daripada PKNP sehingga akhir tahun ini.

"Saya pun tidak tahu (tawar hati dengan Perak), cerita yang dia memadam gambar bersama pasukan Perak saya tidak tahu, saya pun tidak tahu jika dia ada masalah dalam skuad, terima kasih kerana memaklumkan kepada saya, dan saya akan perhatikan.

"Setakat ini, dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk berpindah atau mengadu masalah dalam pasukan.

“Saya anggap dia sebagai anak angkat saya, dalam ramai-ramai pemain Perak, Shahrel Fikri saya anggap sebagai anak sendiri, jadi tentunya jika dia ada masalah harap dapat jumpa dengan saya, bukan sebagai Presiden PAFA tetapi sebagai ayah dia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam negeri sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok, di Ipoh, hari ini.

Mengenai kontrak Shahrel Fikri yang akan tamat akhir tahun ini, Ahmad Faizal berkata penyerang itu antara pemain paling dikaguminya di negara ini.

"Kalau saya pengurus pasukan, saya tentu akan memainkan beliau (beri peluang lebih kerap bermain) dan sudah pasti beliau akan disambung kontrak.

"Namun, sebagai Presiden PAFA, saya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat EXCO PAFA dan pengurus pasukan kerana untuk kita memperkasa pasukan, kita tidak boleh ada banyak kepala, tidak boleh ada banyak jeneral.

"Jika kita sudah beri tanggungjawab kepada seseorang, kita harus menghormati keputusan yang dia buat," katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 5:49pm
d