arena

'Bukan nak jadi penumpang'

Oleh Ferzalfie Fauzi

EPISOD duka di Kejohanan Dunia sudah dilupakan pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan fokus utamanya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu mengakui mereka bukan hanya mahu sekadar melayakkan diri dan menjadi seperti penumpang tapi meraih sesuatu di sana.

“Selepas melayakkan diri ke Olimpik, tugas kita akan bermula dari ‘kosong’. Kita akan mempunyai masa selama tiga bulan untuk mempersiapkan diri. Jadi tumpuan akan diberikan sepenuhnya di dalam latihan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, mereka bukan saja mahu memberikan tentangan sengit di temasya berkenaan tapi meraih sesuatu selari dengan impian setiap pemain di dunia.

“Selepas berakhirnya Kejohanan Dunia memang fokus saya dan Shevon (Lai) adalah untuk aksi seterusnya bagi memungut mata ke Olimpik.

“Bagi saya setiap pemain mempunyai peluang untuk melayakkan diri. Apa yang penting semua sentiasa fokus dalam kejohanan akan datang selepas ini. Sekarang bukan masanya untuk berasa relaks,” kata Soon Huat.

Berdasarkan kedudukan ranking kelayakan Olimpik, Soon Huat-Shevon menghuni tangga ke-16 dengan memungut 20,742 mata.

Berada di kedudukan terbaik untuk melayakkan diri ke temasya empat tahun sekali itu ialah pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menduduki posisi lapan terbaik.

Turut mengintai peluang ialah gandingan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang sekarang ini mengumpul 24,273 mata selepas enam kejohanan.

Malaysia mampu untuk menghantar dua pasangan ke temasya itu dengan syarat perlu berada di kedudukan lapan terbaik dalam ranking kelayakan Olimpik.

“Sasaran individu saya menjelang hujung tahun ini ialah kembali berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia,” kata Soon Huat.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 6:45pm
d