arena

Norwich, Palace tersungkur Piala Liga

Oleh AFP

KELAB Liga Perdana Inggeris, Norwich City dan Crystal Palace tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas di tangan kelab divisyen empat, Crawley Town dan Colchester United, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran DR Congo, Beryly Lubala menjaringkan gol Crawley – gol kelimanya musim ini – ketika menang 1-0 ke atas pasukan kedua Norwich bagi kemenangan sulung tuan rumah ke atas kelab liga utama.

Colchester layak menerusi penentuan penalti apabila mereka mengikat Palace 0-0 selepas 90 minit – dengan Noah Chilvers menyempurnakan penalti penentuan.

Ia kemenangan pertama Colchester ke atas lawan liga utama dalam Piala Liga sejak 1979.

Watford mengendurkan sedikit tekanan buat pengurus Javi Gracia apabila melakar kemenangan pertama mereka musim ini dengan menewaskan Coventry City 3-0.

Laporan akhbar semalam menyebut Gracia mempunyai hingga rehat tugasan antarabangsa kedua – Oktober depan – untuk menyelamatkan jawatannya sekalipun mengemudi Hornets layak ke final Piala FA musim lalu.

Gol sumbangan Ismaila Sarr, Daryl Janmaat dan penyerang Venezuela, Adalberto Penaranda menyingkirkan kelab divisyen tiga itu.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 10:05am
d