arena

Naomi terlalu gementar sebelum mara

Oleh AFP

JUARA bertahan Terbuka AS, Naomi Osaka membayangkan rasa leganya sesudah melepasi aksi pusingan pertama yang sukar pagi tadi apabila dia berdepan perasaan gemuruh ketika menang tiga set ke atas pemain Russia, Anna Blinkova.

Naomi mengalami kekalahan seawal pusingan pertama di Wimbledon bulan lalu dan bintang Jepun itu diasak hebat Anna di Stadium Arthur Ashe sebelum menang 6-4, 6-7 (5/7), 6-2 dalam masa dua jam 28 minit.

“Saya berasa gementar. Bagi saya ia jelas satu perasaan baru. Tidak pernah sebelum ini hadir pada kejohanan Grand Slam sebagai juara,” kata pilihan utama itu.

“Saya maksudkan, saya pernah ke Indian Wells sekali sebagai juara bertahan. Jadi saya berasakan ia sebagai latihan tapi perasaan gemuruh saya hari ini jelas berbeza berbanding di California. Saya betul-betul lega ia berakhir.”

Naomi mesti mengekalkan mahkota di Flushing Meadows untuk berpeluang kekal sebagai pemain nombor satu dunia dan menerima ujian getir daripada naib juara remaja Wimbledon 2015, Anna, yang menyelamatkan satu mata penamat ketika Naomi melakukan servis untuk menamatkan set kedua bagi memaksa set penentuan.

“Saya lebih suka tidak bermain tiga set. Saya berasakan bermain dua set bermakna anda bermain betul-betul bagus.”

Naomi akan menentang pemain Poland, Magda Linette bagi memburu tempat ke pusingan ketiga namun menafikan ada sasaran buatnya sebagai juara bertahan di New York.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 1:40pm
d