arena

The Cops tak boleh leka di Jengka

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KETUA jurulatih PDRM, E Elavarasan mahu pemainnya berwaspada menentang FELDA United pada 14 September depan.

Katanya, dia menjangkakan pertarungan sengit di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kerana kedua-dua pasukan wajib mendapat mata penuh untuk menjamin peluang ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

"Bagi saya pemain jangan anggap mudah cabaran The Fighters walaupun kita menang perlawanan pertama. Saya rasa motivasi mereka makin tinggi selepas menewaskan Melaka United, 3-1, tempoh hari.

“Jadi perlawanan itu sangat penting dan pemain perlu berusaha sedaya upaya untuk menang. Apatah lagi bermain di padang rumput tiruan yang memberi kelebihan kepada mereka. Selain itu, keputusan perlawanan antara Selangor dengan Melaka United juga penting untuk menentukan pasukan mana akan mara," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

PDRM mengumpul lima mata hasil satu kemenangan serta dua seri selepas empat perlawanan manakala FELDA United (empat mata). Peluang dilihat masih terbuka untuk semua pasukan dalam Kumpulan D dengan Melaka mendahului enam mata dan berkongsi mata dengan Selangor di tangga kedua.

Menurut Elavarasan, walaupun saingan Piala Malaysia akan bersambung lebih dua minggu lagi, pasukannya sudah mula berlatih hari ini.

"Dua perlawanan terakhir nanti berlangsung agak rapat, jadi pemain perlu buat persediaan secukupnya bagi mengekalkan tahap kecergasan," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:43pm
d