arena

Syafiqa hadiah emas buat Malaysia

Oleh Azlan Muhammad Zain

ATLET boling padang, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman memberikan keceriaan kepada Malaysia menjelang sambutan kemerdekaan ke-62 apabila muncul juara acara perseorangan di Kejohanan Boling Padang Terbuka Asia 2019 di Pusat Sukan Jiaxing, China, hari ini.

Dia mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan lawan dari Hong Kong, Shirley Ko yang ditentukan menerusi balingan ‘sudden death’ selepas terikat mata terikat 2-2.

Menurut jurulatih negara, Zuraidi Puteh, ia aksi final sangat hebat dengan pemenang ditentukan menerusi balingan terakhir.

"Kemenangan ini hadiah dari skuad boling padang sempena sambutan kemerdekaan pada Sabtu nanti.

“Saya gembira dia mampu mengatasi lawan yang memberikan tentangan sengit. Ia pengalaman berharga dan menjadikannya lebih matang selepas ini.

"Ini antara kejohanan yang boleh dianggap sebagai pemanas badan menjelang Sukan SEA di Filipina nanti. Saya pasti kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus mempamerkan persembahan yang konsisten," jelas Zuraidi.

Syafiqa antara yang disenaraikan dalam saingan fours bagi temasya Sukan SEA Filipina, bergandingan bersama Emma Firyana Siroji, Nurul Alyani Jamil dan Afiqah Dayana Budiman.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:19pm
d