arena

Skuad boling wanita tewas di Las Vegas

Oleh BERNAMA

SKUAD negara gagal mempertahankan pingat emas acara berpasukan pada Kejohanan Boling Wanita Dunia 2019 selepas tidak berjaya melangkah ke saingan separuh akhir di Las Vegas, Amerika Syarikat, hari ini.

Wakil negara dianggotai pemain elit Sin Li Jane, Esther Cheah, Natasha Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi melakar 6,157 jatuhan pin untuk menduduki tempat kelapan daripada 26 pasukan.

Berdasarkan format pertandingan, hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir yang dijadual berlangsung esok (Jumaat di Malaysia).

Bagaimanapun, Siti Safiyah Amirah dan Li Jane, mempunyai peluang mengubati kekecewaan apabila bersaing pada pusingan pertama acara individu Masters, lewat hari ini.

Kedua-dua pemain itu layak ke pusingan pertama individu Masters selepas masing-masing menduduki tempat ke-10 (5,272 jatuhan pin) dan ke-12 (5,233 jatuhan pin) daripada 176 peserta selepas selesai acara All-Events -- individu, beregu, trio dan lima berpasukan.

Mengikut format kejohanan, lapan peserta utama layak secara automatik ke pusingan kedua acara Masters manakala peserta dengan kedudukan sembilan hingga ke-24 dalam All-Events bersaing di pusingan pertama.

Siti Safiyah akan menentang peserta Korea Selatan, Jung Dawun manakala Li Jane berdepan dengan peserta Sweden, Josefin Hermansson.

Sebagai rekod, kesemua peserta Malaysia menampilkan aksi hambar pada acara individu, beregu dan trio gagal yang berlangsung lebih awal di Plaza Boling South Point.

Sejumlah 176 peserta daripada 34 buah negara mengambil bahagian pada kejohanan dwitahunan itu dengan pencapaian terbaik Malaysia ialah memenangi pingat acara berpasukan pada 2017 di venue sama.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:54pm
d