arena

Iwobi pacu Everton ke pusingan ketiga

Oleh AFP

GOL sulung Alex Iwobi bersama Everton membantu kelab itu menang 4-2 ke atas pasukan divisyen tiga Lincoln pada pusingan kedua Piala Liga Inggeris awal pagi tadi ketika kelab liga utama itu berjaya mengelak kejutan awal.

Everton, yang hanya menjaringkan satu gol dalam tiga aksi Liga Perdana musim ini dan kalah 0-2 di Aston Villa minggu lalu, ketinggalan hanya selepas 20 saat sebelum bangkit mendahului 2-1.

Pemain Lincoln, Bruno Andrade meledak gol penyamaan menakjubkan pada minit ke-70, namun tandukan Iwobi serta gol lewat Richarlison membolehkan anak buah Marco Silva mara ke pusingan ketiga.

“Ia perlawanan sukar. Pujian buat Lincoln. Apa yang penting kami mara. Kami mempamerkan semangat juang,” kata Iwobi.

“Saya seronok dengan babak baharu dalam kehidupan saya. Setiap pertandingan kami hadapi secara serius.”

Pemain baharu Moise Kean, Djibril Sidibe, Iwobi dan Fabian Delph semuanya melakukan penampilan sulung dalam kesebelasan utama buat Everton, namun pelawat bermula buruk di Sincil Park apabila Harry Anderson merembat masuk hantaran silang Jack Payne.

Everton pantas menguasai saingan namun terpaksa menunggu hingga minit ke-36 untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma lencong Lucas Digne dari jarak 27 meter menerjah jaring.

Namun pelawat mendahului pada minit ke-59 apabila Morgan Schneiderlin dijatuhkan dalam kotak penalti dan Gylfi Sigurdsson merembat kencang sepakan penalti.

Pasukan Liga Satu itu tidak mahu menyerah kalah dan menyamakan kedudukan 20 minit sebelum tamat susulan tendangan voli mengagumkan pemain sayap Portugal, Andrade.

Bagaimanapun Iwobi mencetak gol pertama buat kelab baharunya selepas hadir dari Arsenal pada hari terakhir jendela perpindahan, menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-81 ketika dia mahu digantikan oleh Theo Walcott.

Richarlison turut menjaringkan gol pertamanya musim ini dengan tandukan kencang susulan hantaran silang tepat Digne.

“Ia kemenangan penting buat musim ini,” kata Digne, pertahanan kiri Perancis.

“Apabila saya boleh menjaringkan gol ia bagus untuk pasukan. Kami terpaksa bertahan dengan lebih baik tapi kami gembira dengan kemenangan ini.”

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 8:28am
d