arena

Ajax layak undian kumpulan Liga Juara-Juara

Oleh AFP

PEMAIN baharu Edson Alvarez dan kapten Dusan Tadic meledak gol membantu Ajax Amsterdam mengalahkan APOEL Nicosia 2-0 pada playoff kedua Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus memastikan tempat pada majlis undian peringkat kumpulan malam ini.

Alvarez, pertahanan kebangsaan Mexico yang dibeli dengan harga 15 juta euro (RM70 juta) dari Club America bagi menggantikan Matthijs de Ligt yang berpindah ke Juventus, menanduk masuk gol pembukaan menerusi sepakan percuma dua minit sebelum rehat.

Tadic kemudian menyambut hantaran silang Klaas-Jan Huntelaar dalam kawasan penalti sebelum merembat kencang pada minit ke-80 di Amsterdam ketika Ajax layak selepas seri tanpa jaringan aksi pertama di Cyprus.

Anak buah Erik ten Hag berasakan mereka sudah mendahului 2-0 sebaik selepas rehat apabila Huntelaar menanduk masuk dari jarak dekat.

Bagaimanapun, selepas reviu VAR, gol itu dibatalkan kerana Joel Veltman berada dalam kedudukan ofsaid ketika gerakan gol.

Tidak lama kemudian APOEL berjaya meletakkan bola di dalam jaring namun kali ini ofsaid jelas buat semua dan tiada hadiah gol di tempat lawan buat juara Cyprus itu.

Ajax mengejutkan Real Madrid dan Juventus dalam laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, yang mana mereka tewas di tangan Tottenham Hotspur.

Selain De Ligt, juara Eropah empat kali itu turut kehilangan pemain bintang tengah Frenkie de Jong kepada Barcelona susulan persembahan mengagumkan musim lalu.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 10:33am
d