arena

Sanchez sudah tiba di Milan

Oleh Reuters

PENYERANG Manchester United dan Chile, Alexis Sanchez tiba di Itali lewat malam tadi untuk beraksi secara pinjaman bersama Inter Milan.

Media Itali menyiarkan foto dan video Sanchez di tempat letak kereta lapangan terbang Malpensa dan menyatakan dia akan menjalani pemeriksaan perubatan.

Sanchez, penjaring terbanyak Chile sepanjang zaman dengan 43 gol, menyertai Manchester United pada Januari tahun lalu dan hanya menjaringkan lima gol dalam 45 perlawanan, jauh berbeza daripada pencapaiannya di Arsenal dengan 80 gol dalam 166 perlawanan.

Pemain berusia 30 tahun itu mengemudi Chile merangkul kejuaraan utama pertama mereka, Copa America 2015 dan Copa Centenario setahun kemudian, namun kecewa apabila mereka gagal layak ke Piala Dunia di Russia tahun lalu.

Dia sebelum ini menghabiskan tiga musim dalam Serie A bersama Udinese sebelum berpindah ke Barcelona.

Sanchez akan bersatu dengan bekas rakan sepasukan Manchester United, Romelu Lukaku yang menyertai Inter bulan ini.

Inter melantik bekas jurulatih Itali, Juventus dan Chelsea, Antonio Conte pada hujung musim dalam usaha menamatkan kemarau trofi selama lapan tahun.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 10:56am
d