arena

Serena, Federer mara dalam getir

Oleh AFP

SERENA Williams hampir tersingkir daripada Terbuka AS yang terjejas kerana hujan pagi tadi manakala juara bertahan Novak Djokovic berjuang sekalipun mengalami kesakitan bahu dan Roger Federer mara walaupun bermula longlai.

Serena, pilihan kelapan dari AS, yang memburu kejuaraan Grand Slam ke-24 karier untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Margaret Court, berdepan saat cemas sebelum menyingkirkan pemain wildcard AS berusia 17 tahun Caty McNally 5-7, 6-3, 6-1.

Caty, yang belum lahir ketika Serena menang Slam pertamanya pada Terbuka AS 1999, mengancam untuk menyukarkan Serena sejak mula sebelum juara Terbuka AS enam kali itu menang sembilan daripada 11 ‘game’ terakhir untuk memastikan kemenangan di Stadium Arthur Ashe.

“Saya terselamat malam ini. Saya langsung tidak gembira dengan cara saya bermain,” kata Serena.

“’Serena, anda melakukan terlalu banyak kesilapan hari ini. Apa yang anda fikirkan?’ Tapi saya masih mara. Saya gembira. Saya akan melakukan yang lebih baik selepas ini. Saya janji.”

Djokovic, pemenang empat daripada lima kejuaraan Slam terakhir dan 16 secara keseluruhan, dirawat kerana sakit bahu kiri ketika menang 6-4, 7-6 (7/3), 6-1 ke atas pemain ranking ke-56 dari Argentina, Juan Ignacio Londero.

“Ia menjejaskan servis dan pukulan backhand saya,” kata Djokovic mengenai kecederaan bahunya. “Saya benar-benar diuji.”

Federer, pemenang 20 gelaran Grand Slam yang kali terakhir menang Terbuka AS pada 2008, bangkit sebelum menundukkan pemain ranking ke-99 dari Bosnia, Damir Dzumhur 3-6, 6-2, 6-3, 6-4.

Pilihan ketiga dari Switzerland berusia 38 tahun itu, yang turut kalah set pertama menentang pemain India, Sumit Nagal pada pusingan pertama, bangkit sekalipun melakukan 17 ‘unforced error’ pada set pertama.

“Ia agak mengecewakan, terutama apabila tahap terlalu rendah dan banyak kesilapan serta seperti tidak bertenaga,” kata Federer. “Tapi boleh bertindak lebih baik, satu perkara hebat untuk meneruskan langkah.

“Jelas saya perlu bermain lebih baik sejak mula.”

Sekalipun kejohanan Grand Slam terakhir tahun ini kurang dari segi kuantiti apabila 22 perlawanan perseorangan ditangguh kerana hujan, ia diatasi dengan kualiti pada perlawanan menakjubkan yang mencabar kewibawaan tiga bintang terhebat dalam sejarah tenis.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 1:42pm
d