arena

Sarri, tolonglah berhenti merokok!

Oleh Agensi

JUVENTUS dikatakan 'tersinggung' apabila pengurus, Maurizio Sarri enggan berhenti merokok selepas jurulatih kelab itu dibenarkan kembali berada di tepi padang, lapor media di Itali.

Bekas bos Chelsea berusia 60 tahun itu yang disahkan menghidap radang paru-paru, awal bulan ini, terlepas beraksi pada dua perlawanan liga skuad Old Lady dalam Serie A kerana diminta berehat atas nasihat doktor pakar.

Selepas kesihatan menampakkan pemulihan, Sarri berkemungkinan mendapat lampu hijau kembali ke tepi padang mengendali Juve berdepan kelab lamanya, Napoli.

Menurut laporan perubatan, pengurusan Juventus bimbang dengan tabiat buruk merokok dimiliki oleh Sarri dan lebih suka pengurus mereka berhenti ketika mendapatkan rawatan akibat jangkitan.

Akhbar Itali, Corriere della Sera menerbitkan imej pengurus Juventus itu memegang sekotak rokok ketika bergambar dengan peminat di luar kediamannya, awal minggu ini sekaligus membuktikan dia tidak memenuhi jangkaan pengurusan skuad Turin itu.

Difahamkan hierarki Juventus tersinggung dengan pilihan Sarri dan lebih suka melihat jurulatih itu fokus untuk mendapatkan semula tahap kecergasan sebelum berada di stadium.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 3:49pm
d