arena

Smalling dipinjam ke Roma

Oleh Agensi

ROMA akan menandatangani pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling menerusi rundingan pinjaman selama semusim selepas persetujuan dicapai antara Red Devils dan kelab Itali itu.

Smalling terkontang-kanting di Old Trafford selepas Harry Maguire menyertai kelab itu dengan yuran perpindahan £80 juta (RM411j).

Bos United, Ole Gunnar Solskjaer pula lebih cenderung menggandingkan bekas pemain pertahanan itu dengan Victor Lindelof.

Ia kelihatan seperti kepastian selepas kelab Serie A menemui penyelesaian apabila wartawan Sky Italia, Fabrizio Romano mendakwa Giallorossi mencapai persetujuan penuh untuk pemain berusia 29 tahun itu untuk pinjaman semusim dengan tiada pilihan untuk membeli selepas melihat usaha untuk mendapatkan pemain Tottenham, Toby Alderweireld dan Dejan Lovren (Liverpool) gagal menjadi kenyataan pada musim panas ini.

Dengan tarikh akhir perpindahan pemain di Eropah berakhir pada Isnin ini, Roma bertindak pantas untuk mendapatkan pemain England itu yang tidak tampil dalam mana-mana tiga perlawanan awal United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 6:24pm
d