arena

Coco jumpa Naomi, Nadal mara

Oleh AFP

PEMAIN sensasi Amerika Syarikat berusia 15 tahun, Coco Gauff mencetus pertembungan dinanti-nanti dengan juara bertahan Naomi Osaka pada Terbuka AS ketika laluan Rafael Nadal dipermudahkan apabila dia menerima kemenangan percuma ke pusingan ketiga.

Juara Wimbledon, Simona Halep pula tersingkir awal buat tahun ketiga berturut-turut di New York, mensia-siakan satu mata penamat ketika kalah pada perlawanan tegang tiga set di tangan pemain ranking ke-116, Taylor Townsend.

Coco, yang layak ke pusingan keempat Wimbledon sebelum tumbang di tangan Simona, mengalahkan pemain Hungary, Timea Babos 6-2, 4-6, 6-4 untuk muncul pemain termuda pada pusingan 32 terakhir Terbuka AS sejak Anna Kournikova pada 1996.

“Ia amat mengagumkan. Saya terlalu gembira untuk melepasinya,” kata Coco ketika namanya dilaung-laung di sekitar Stadium Louis Armstrong.

“Saya terpaksa bekerja keras hari ini. Saya hanya bangga dengan cara saya berjuang dan saya lega ia berbaloi akhirnya.”

Ditanya mengenai pertembungannya dengan pemain nombor satu dunia Naomi, Coco berkata, tumpuan utamanya adalah aksi beregu dengan Caty McNally, awal pagi esok.

“Sabtu ini saya akan memikirkan mengenai perlawanan itu, tapi esok saya lebih bimbang mengenai perlawanan beregu,” katanya.

Juara Terbuka AS tiga kali Nadal layak tanpa memukul bola apabila kecederaan bahu kanan menyebabkan pemain Australia, Thanasi Kokkinakis menarik diri daripada perlawanan sebelah malam di Stadium Arthur Ashe.

Juara 18 gelaran Grand Slam dari Sepanyol itu akan berdepan pemain Korea Selatan, Chung Hyeon bagi memburu tempat ke pusingan 16 terakhir.

Laluannya bagi kejuaraan keempat agak cerah ketika pencabar “Big Three” Novak Djokovic dan Roger Federer berada di undian berlainan. Apatah lagi empat daripada 10 pemain terbaik tersingkir pada pusingan pertama.

Alexander Zverev, pilihan keenam, kini pemain pilihan tertinggi yang kekal bersaing di undian sama dengannya apabila pemain Jerman itu menang lima set ke atas pemain AS, Frances Tiafoe 6-3, 3-6, 6-2, 2-6, 6-3.

Taylor mengingkirkan pilihan keempat wanita Simona 2-6, 6-3, 7-6 (7/4), pemain Romania itu mengalami satu lagi penyingkiran awal di Flushing Meadows, sesudah terkandas pada pusingan pertama pada 2017 dan 2018.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 2:25pm
d