arena

Misbun persiap kelompok kedua

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui sedang mempersiapkan kelompok kedua dan ketiga yang akan menjadi sistem sokongan kepada Lee Zii Jia.

Menurutnya, buat masa sekarang orang di luar hanya nampak ada jurang yang jauh di antara Zii Jia dan pemain lain namun perkara itu dirasakannya bersifat subjektif.

“Walaupun barisan kedua ini tidak mempunyai ketinggian setaraf Zii Jia namun setidak-tidaknya pemain itu mampu untuk mencabarnya dan sukar untuk ditewaskan,” katanya.

Bagaimanapun, ujar legenda perseorangan lelaki negara itu, kelompok kedua sekarang ini juga berdepan dengan nasib kurang baik terutama dari segi undian di kejohanan antarabangsa.

“Mereka ini seperti sedang hendak bangun dan berdepan dengan pelbagai rintangan. Mereka harus menstabilkan diri mereka.

“Kelompok pemain perseorangan lelaki yang kita ada ini memang pelbagai ada bawah 20 dan 23 tahun, serta senior.

Jika tidak ada pelbagai sukar untuk kita melakukan perlawanan simulasi baik untuk pemain di atas mahupun di bawah,” katanya.

Ujar Misbun, untuk mendorong pemain agar meraih pengalaman dan cepat menangkap apa yang diajar bukannya mudah.

“Kita perlu memberikan mereka pelajaran di dalam latihan sepertu contoh bagaimana untuk melakukan serangan.

“Selepas handal dalam serangan, kita mahu corakkan mereka dengan kemahiran pula. Akhir sekali bagaimana untuk menggunakan semua itu di dalam pertandingan.

“Setiap pemain lawan dari pelbagai negara memang berbeza. Semuanya mengikut corak masing-masing yang tersendiri,” katanya.

Zii Jia yang diletakkan harapan untuk memenangi pingat di Sukan SEA Manila 2019 dan selainnya tiga lagi pemain bakal beraksi di temasya berkenaan ialah Soong Joo Ven, Lim Chong King serta Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 3:32pm
d