arena

Melaka hilang empat tonggak

Oleh Nazri Abu Bakar

SKUAD Melaka dilanda kebimbangan berikutan berdepan krisis kecederaan dalam kalangan pemain utamanya bagi mengharungi baki saingan Piala Malaysia musim ini.

Selepas import Invory Coast, Davy Angan disahkan terpaksa melupakan saingan itu kini skuad Hang Tuah berdepan kehilangan empat tonggak utama akibat kecederaan serius.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Farhan Ibrahim berkata, kecederaan tendon dialami penjaga gol utama Khairul Fahmi Che Mat atau Apek belum pulih dan perlu berehat beberapa minggu lagi.

Katanya, sejak Piala Malaysia membuka tirai 3 Ogos lalu penjaga gol kebangsaan itu belum dapat menikmati saingan berkenaan dengan tugasannya diambil alih oleh Ahmad Solehin Mamat.

“Penjaring terbanyak pasukan Patrick Reichelt yang berdepan kecederaan pada aksi keempat Piala Malaysia bertemu FELDA United minggu lalu dijangka memerlukan masa untuk pulih.

“Walaupun dipanggil menyertai skuad Filipina namun kecederaan serius dialami membimbangkan kerana dia antara senjata utama meledak jaringan.

Dia bagaimanapun akan menjalani rawatan susulan sepanjang di negara terbabit,"katanya.

Turut berada dalam senarai kecederaan adalah pertahanan Korea Selatan, Jang Suk Won dan Saiful Ridzuwan Selamat yang beraksi di posisi tengah.

Anak buah Zainal Abidin Hassan beraksi pada dua pertemuan terakhir kumpulan D berdepan Selangor di Shah Alam 14 September dan PDRM pada 18 September di Stadium Hang Jebat.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:13pm
d