arena

Federer, Serena tunjuk belang

Oleh AFP

ROGER Federer dan Serena Williams, masing-masing pemegang gelaran Grand Slam terbaik sepanjang zaman, mara ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat awal pagi tadi ketika naib juara Terbuka AS 2014 Kei Nishikori tersingkir di tangan pemain Australia Alex de Minaur.

Federer menewaskan pemain ranking 58 dunia dari Britain Dan Evans 6-2, 6-2, 6-1 dalam tempoh hanya 80 minit, melakukan 48 winners berbanding tujuh dari Evans.

“Saya benar-benar menikmati perlawanan ini,” kata Federer.

“Saya berjaya menyesuaikan diri dan menamatkan perlawanan jadi ia sesuatu yang bagus.”

Selepas ketinggalan pada set pertama dalam dua perlawanan pertamanya, Federer beraksi mantap dari awal hingga tamat perlawanan.

“Apa yang paling penting saya berada di pusingan ketiga selepas dua perlawanan awal yang agak perlahan,” kata Federer.

“Biasanya saya boleh melepasi tiga set berturut-turut jika bermain tenis dengan baik.”

Federer akan menentang pilihan ke-15 dari Belgium David Goffin.

Serena pula memburu gelaran Grand Slam ke-24 untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court dengan menewaskan pemain ranking ke-44 dunia dari Republik Czech Karolina Muchova 6-3, 6-2 dalam tempoh 74 minit.

“Saya bermain dengan penuh intensiti, ia sesuatu yang bagus untuk saya,” kata Serena yang akan menentang pilihan ke-22 dari Croatia Petra Martic.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 10:08am
d